Monday, August 15, 2011

Fitnah, Hasad dengki,

which side are you?



Assalamualikum semua, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada kamu semua yang telah sudi membaca post saya pada kali ini. kali ini saya akan berkongsi dengan anda semua tentang budaya tidak elok yang telah diamalkan oleh masyarakat kita pada masa kini.


Kenapa perlu ade benda2 ini semua? cuba kamu semua fikir sejenak tentang apa yang telah berlaku dalam hidup kamu berkenaan dengan budaya ini. tidakkah perkara ini adalah perkara yang kamu semua patut titikberatkan.? perkara sebegini tidak sepatutnya berleluasa dalam kehidupan kita semua kerana :


Umat Islam mesti buang perasaan hasad dengki demi mengekalkan keharmonian masyarakat

FITNAH dan khabar angin sering digunakan untuk menyebarkan maklumat tidak benar. Ada segelintirnya menggunakan kemudahan canggih untuk melaga-lagakan sesama manusia sehingga sahabat menjadi musuh, suami isteri bercerai gara-gara e-mel, SMS, surat layang, internet, dan rakaman video.

Islam melarang keras perbuatan fitnah dan menyebar khabar angin dan golongan penyebar maklumat palsu itu dijanjikan Allah azab yang amat pedih.

Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya orang yang menghebahkan tuduhan buruk di kalangan orang beriman, mereka akan beroleh azab seksa tidak terperi sakitnya di dunia dan akhirat. Ingatlah Allah lebih mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahuinya”. (Surah an-Nur, ayat 19).

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Awasilah diri kamu daripada berburuk sangka kerana perbuatan itu satu pembohongan besar. Janganlah mencari berita buruk, berhasad dengki, bermasam muka dan marah, sebaliknya jadikanlah diri kamu bersaudara. (Riwayat Bukhari & Muslim).

Rasulullah mengingatkan kita agar sentiasa menjauhi diri daripada perbuatan keji yang dinyatakan dalam hadis itu. Sesungguhnya impak perbuatan keji itulah membawa kepada berlakunya budaya penyebaran surat layang dan fitnah dalam masyarakat.

Perbuatan bersangka buruk terhadap orang lain sebenarnya timbul daripada perasaan tidak puas hati dan dengki atas sebab tertentu. Perbuatan sebegini melambangkan betapa rendahnya moral pelaku yang sanggup menghancurkan maruah orang lain dengan menolak rasional akal yang dianugerahkan Allah kerana dikuasai nafsu marah dan dengki.

Kalau pun sesuatu tuduhan itu ada kebenarannya, orang yang mengambil kesempatan berbuat demikian perlu mempunyai bukti kukuh dan munasabah bagi membuktikan kebenaran, bukannya mencantumkan cerita yang dibawa dari mulut ke mulut untuk dijadikan modal menyebarkan tuduhan palsu kepada seseorang.

Islam juga melarang umatnya daripada suka mengorek rahsia orang lain. Peribahasa Melayu ada menyebut, jangan menjaga tepi kain orang. Tetapi dalam beberapa hal yang membabitkan berlakunya kebatilan dan perkara sumbang dalam masyarakat yang mengundang kemudaratan kepada ajaran agama, maka dibolehkan berbuat demikian dengan tujuan menegahnya agar tidak terus menular dalam hidup bermasyarakat.

Telinga adalah antara pancaindera anugerah Allah yang tiada bandingannya, justeru orang Islam hendaklah menjaga telinga mereka daripada mendengar khabar angin yang belum tentu kebenarannya, tetapi jika terpaksa mendengarnya atas faktor keadaan, maka dituntut agar tidak menyebarkan kepada apa yang didengar kepada orang lain. Ini bagi mengelakkan kita turut sama terbabit sebagai penabur fitnah yang bakal memporak-perandakan kehidupan bermasyarakat.

Satu sifat mazmumah yang paling kerap melanda diri manusia yang suka menyebarkan khabar angin dan fitnah ini ialah sifat hasad dengki dan iri hati. Hasad dengki dalam definisi yang lengkap membawa maksud mencari jalan atau ikhtiar untuk menghilangkan nikmat yang ada pada orang lain. Impaknya amat besar, bukan saja kepada orang yang didengki tetapi juga akan terpalit kepada seluruh anggota masyarakat umum.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Berhati-hatilah kamu terhadap hasad dengki kerana ia boleh merosakkan amal kebaikan kamu seperti api memakan sekam.” (Riwayat Muslim). Satu insiden yang akan timbul pada peringkat awal penyebaran khabar angin dan fitnah ialah perang dingin antara kedua-dua pihak yang terbabit, kemudian apabila telah parah maka akan lahir pula sikap benci membenci, tuduh menuduh, caci mencaci dan akhirnya akhirnya perbalahan besar yang ada kalanya boleh mencetuskan pembunuhan.

Sekiranya tidak ada individu yang sanggup menjadi perantara untuk melerai permusuhan yang lahir daripada sifat suka berburuk sangka, penyebaran khabar angin dan fitnah serta hasad dengki, maka sudah tentu membawa kepada berlakunya lebih besar insiden yang boleh meruntuhkan maruah dan peradaban manusia khususnya umat Islam.

Dalam hal ini kesabaran asas utama diperlukan bagi mengelakkan hal yang lebih besar melanda manusia. Kesimpulannya, untuk mengelakkan diri daripada terbabit dan tergelincir ke arah perlakuan keji seperti suka menabur fitnah, bersifat hasad dan mudah terpengaruh dengan khabar angin maka eloklah kita beramal dengan beberapa ciri sifat mahmudah seperti disarankan Imam al-Ghazali iaitu:

  • Al-qanaah (cukup dengan apa yang diberikan)
  • Al-zuhd (tidak mementingkan duniawi)
  • Kitmanus-sir (merahsiakan rahsia)
  • Al-hilm (lambat marah )
  • As-syajaah (berani )
  • Al-iffah (pemaaf).

  • Okay, artikel di atas adalah hasil dari carian saya dekat encik google bagi menguatkan lagi tentang perkara yang hendak saya terangkan ini. terus terang saya katakan saya amat tidak menyukai dengan budaya ini. sampai bila kita hendak maju kalau kita, diri kita sendiri mengamalkan budaya ini?


    Saya beramat syukur kerana telah dilahirkan sebagai orang islam. saya telah diberi pendidikan awal oleh ibu bapa saya mengenai agama islam sejak dibangku sekolah lagi. dan saya amat pasti kamu semua macam saya juga. kita ada ilmu itu. Tetapi kenapa kita tidak mempraktikkannya.? semua ini terletak dalam diri masing-masing. tidak perlulah kita menyalahkan orang lain. saling nasihat menasihati antara satu sama lain adalah lebih bagus dari kita mengutuk seseorang itu.


    Nasihat juga mestilah kena dengan tempatnya. janganlah kita menasihati seseorang itu dengan cara sindiran. tidak manis sebenarnya jika kita fikirkan baik2. entry kali ini bukan bertujuan saya mahu membuatkan sesiapa tersinggung dan sakit hati. ini hanya nasihat dan pendapat dari saya. saya hanya mahukan perubahan dalam hidup saya. saya tidak kenal kamu semua dan kamu semua juga tidak kenal saya dengan sebenarnya. hormatilah dan kenalilah diri kamu semua dengan betul. mengenali diri sendiri adalah permulaan bagi mengenali dan mencintai orang lain.


    Saya sebenarnya amat sedih dengan kehidupan saya. saya tertanya tanya pada diri saya sendiri kenapa harus berlaku perkara2 yang tidak sepatutnya berlaku? semakin saya cuba untuk menjadi baik semakin banyak halangan yang saya harus tempuhi. adakah ini dugaan dan cabaran yang diberikan oleh ALLAH S.W.T kepada saya untuk berusaha mencari Hidayah-Nya.?


    Ramai yang telah membuat tanggapan yang buruk tentang diri saya. saya terima semua itu dengan hati yang terbuka. saya cuba untuk memperbaiki kelemahan diri saya. kadangkala kita tak sedar yang kita telah melakukan kesilapan tanpa kita sedari. hakikatnya manusia tidak terlepas dari melakukan kesilapan. saya juga percaya anda juga sama. jadi janganlah kita amalkan budaya sebegini.


    Seperti yang kamu semua telah ketahui, kita semua hanyalah hamba kepada-Nya. secara dengan kita tak sedar kita telah jauh hanyut tersesat dengan dunia ciptaan-Nya. manusia mempunyai iman, iman boleh bertambah dan juga boleh berkurang. semuanya terletak ditangan kita. renung-renungkanlah wahai teman-temanku.